KESUSASTERAAN

KONSEP KESUSASTERAAN

Kesusasteraan ialah suatu bentuk ciptaan seni yang disampaikan melalui bahasa. Perkataan “kesusasteraan” terbentuk daripada perkataan sanksrit “susastera” yang bermaksud huruf atau buku yang indah. Ciptaan kesusasteraan berbeza dengan ciptaan-ciptaan seni yang lain. Kesusasteraan menggunakan bahasa sebagai alat penyampaiannya. Melalui bahasa, keindahan kesusasteraan dapat dirasakan oleh pembacanya. Dengan bahasa juga mereka dapat menggarap isi dan tujuan sambil menghayati segala pengalaman dan perasaan yang tercurah.
Sesebuah hasil kesusasteraan yang bermutu tidak mempamerkan bahan atau menggunakan bahasa dan olahan yang indah sahaja tetapi seharusnya juga memiliki unsur-unsur intelek, tersirat dengan emosi dan perasaan, penuh dengan ekspresi dan imaginasi serta kaya dengan sifat-sifat kreatif.penggunaan teknik yang baik dan menarik juga merupakan factor penting. Dengan cara inilah kesusasteraan dapat memikat hati para pembaca.
Unsur-unsur intelek dalam kesusasteraan bukan sahaja menjadikan karya sastera itu sebagai bahan hiburan semata-mata, tetapi lebih penting sebagai bahan untuk pembaca mendapatkan pendidikan. Fikiran-fikiran yang ditimbulkan terutamanya berkaitan dengan aspek-aspek yang berhubung dengan soal-soal moral, kemasyarakatan dan teladan kepada pembaca. Kadangkala, kesusasteraan bertindak sebagai satu bentuk perhubungan. Kesusasteraan menjadi tidak bererti sekiranya tidak ditujukan kepada seseorang atau sekumpulan pembaca. Oleh kerana itulah, kesusasteraan harus bersifat positif dan mempunyai tugas-tugas tertentu.


FUNGSI KARYA SASTERA

    1. Sastera sebagai Khazanah Bangsa
Sastera dapat dianggap sebagai perakam ilmu sesuatu bangsa. Ilmu di sini dapat ditakrifkan sebagai pelajaran yang teratur dan teruji daripada deretan pengalaman sesuatu bangsa, sesuatu masyarakat atau seorang manusia. Oleh yang demikian, karya-karya yang menurunkan maklumat dan fakta tentang perkembangan sejarah, tarikh kelahiran dan kematian seseorang raja, peperangan, penaklukan, perdamaian, persaingan, perdagangan dan kunjungan ialah ilmu sejarah. Manakala, cara membuat dakwat, melebur dan menggabungkan besi keris ialah teknologi warna dan logam. Dalam khazanah juga sering kita lihat ilmu binatang, ramalan dan keraksian manusia. Selain itu, khazanah juga amat kaya dengan kitab-kitab agama yang mempersoalkan, memperkembangkan serta memperhaluskan perbincangan, dan menyimpulkan pelbagai perdebatan agama Islam, daripada dasar-dasar utama rukun iman hinggalah kepada persoalan yang tergolong dalam daerah tasawuf, falsafah dan tauhid.
Sering juga ilmu ini dijalinkan ke dalam hikayat atau cerita. Cara menyusun taman, membina istina serta melukis corak kain menjadi sebahagian daripada cerita-cerita besar kita seperti Hikayat Isma Yatim dan Hikayat Hang Tuah. Hikayat kedua ini menjelaskan secara konkrit contoh duta Melayu yang berjaya dalam tugas yang berat lagi besar daerahnya. Jelaslah tanpa sastera, sebahagian besar daripada ilmu bangsa Melayu tidak akan sampai kepada kita dan generasi akan datang sekiranya pupus cerita-cerita lisan dan tulisan dalam bentuk manuskrip.

2 . Wadah dan Wajah Kebijaksanaan
Sastera Melayu amat peka-sejarah, peka-agama dan peka-moraliti. Cerita dan episod, hikayat dan pantun selalu cuba menyimpulkan pelajaran daripada pengalaman manusia. Pelajaran ini ditujukan kepada anak cucu, iaitu semua generasi lahir dan hidupa setelah zaman pengarang. Pengarang berusaha mencari makna besar di hujung peristiwa, pengalaman dan juga karyanya. Ada sebuah bentuk yang amat penting dalam sastera Melayu, iaitu bentuk peribahasa dan perbilangan. Bentuk ini memberikan ruang khusus kepada khazanah kebijaksanaan sejarah dan moraliti yang mengungkap hukum dan nilai masyarakat Melayu. Walaupun bentuknya pendek, patah-patah dan berbilang-bilang, namun kerana seni ini handal memadatkan pandangan dan penilaian maka banyak pengajaran dan pedoman yang dapat dikesan di dalamnya.  

3 . Penawar dan Penghibur
Selain membawa manfaat ilmu, petunjuk dan bimbingan, sastera juga menghiburkan khalayaknya. Misalnya, dalam sastera kitab, hiburan itu bukanlah keseronokan hedonistik untuk mencari kesukaan deriaan tetapi lebih bersifat pemuasan rasa ingin tahu atau nafsu terhadap maklumat, sementara hiburan cerekanya agak tipis, atau sama sekali tidak ada. Dalam karya-karya mantera dan doa pula adalah untuk menyampaikan alatan untuk kelangsungan hidup lebih dipentingkan. Sementara itu, karya-karya cereka, hikayat dan syair, hiburan itu lebih bersifat terapeutik untuk menyembuh orang yang rawan, duka, nestapa dan bercinta.


4 . Pembawa Contoh dan Unggul
Selain menjadi pengubat jiwa, seorang pengarang juga menjadi pengajar dalam hal-hal yang membantu kehidupan manusia. Nilai-nilai dasar, kehalusan cara berinteraksi manusia dengan seni, contohnya manusia yang disanjung dan baik serta pengetahuan yang melancarkan perjalanan kampong dan negeri disalurkan melalui karya-karya yang mementingkan suatu gambaran masyarakat dan musia unggul sebagai pengukur untuk pembaca atau pendengar. Hang Tuah, Isma Yatim, Siti Zubaidah dan Panglima Nikosa ialah watak-watak terpilih untuk dicontohi dengan nilai-nilai dan sifat-sifat mulia.

   5. Sastera sebagai Ucapan Bermakna
Bahasa sastera dibina daripada pengalaman bangsanya dan dikembangkan serta disesuaikan untuk tugas-tugasnya. Oleh sebab bahasa ini mengetengahkan pelbagai persoalan yang penting, maka bahasa sastera ini juga ialah ucapan bermakna atau significant speech (Havelock, 1982:134-135) yang memerikan suatu julat pengalaman yang dikekalkan dalam buku dan segala jenis tulisan, di mana tersimpan etos dan teknologi sesuatu bangsa”. Hanya melalui ucapan bermakna ini, kebijaksanaan suatu bangsa dapat dikembangkan.

6  . Pengalaman Estetik
Dalam sastera sendiri, pengarang didedahkan kepada gambaran-gambaran yang indah. Pengalaman keindahan ini, diciptakan oleh suatu bahasa yang disusun rapi baris-barisnya, diadun halus bunyi-bunyi sehingga mengesani perasaan rahsianya. Bahasa ini juga sering menangkap peristiwa yang sakti, asli dan baru serta sarat dengan imaginasi subur.

RASIONAL MENGAJAR KESUSASTERAAN

         i.           Kesusasteraan sebagai Warisan Budaya
Kesusasteraan diajar di sekolah-sekolah untuk membolehkan para pelajar menyedari betapa pentingnya melindungi warisan budaya mereka.

       ii.           Kesusasteraan Mempertingkatkan Perkembangan Bahasa
Para pelajar digalakkan menyuburkan kesedaran mereka tentang stail (gaya) dan memperbaiki fleksibiliti mereka dalam menggunakan bahasa.

      iii.           Kesusasteraan Menggalakkan Perkembangan Individu
Kesusasteraan diajar untuk merangsangkan idea. Pelbagai aktiviti yang dapat dilaksanakan oleh guru bertujuan melibatkan para pelajar secara aktif. Aktiviti-aktiviti ini berusaha menimbulkan minat dan keyakinan pelajar dalam pelajaran kesusasteraan Melayu. Di samping itu, pembelajaran kesusasteraan akan menolong para individu tersebut mencapai taraf mengenal diri sendiri dan mengenal pasti nilai serta harga diri mereka.

     iv.            Kesusasteraan Merupakan Fitrah Manusia sebagai Makhluk Sempurna
Karya kesusasteraan bersifat khusus dan menggambarkan individu dalam sesuatu daerah budaya tertentu. Karya kesusasteraan boleh mendebarkan dan mengharukan hati pembaca, pendengar dan penonton. Citarasa seni menjadi fitrah manusia sebagai makhluk di dunia ini. Citarasa seni yang dimaksudkan adalah seperti seni bahsa, seni suara, seni bunyi, seni corak, seni bina, sni rupa, seni lukis, seni halus, seni masakan, seni pakaian dan sebagainya. Citarasa seni itulah yang mengarah manusia ke dalam haluan hidup masing-masing. Contohnya, jika seni bahasa yang menguasai dirinya, maka wujudlah dia sebagai seorang sasterawan atau penyair. Jadi, bakat semula jadi yang wujud di dalam diri seseorang itu harus dipupuk kerana ia adalah satu anugerah Tuhan yang memberi manusia nikmat keindahan.

MATLAMAT PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN KESUSASTERAAN

Selaras dengan cita-cita dan aspirasi pendidikan kesusasteraan, maka matlamat pengajaran kesusasteraan bertujuan untuk:
1.         menanamkan semangat dan nilai-nilai kemanusiaan
2.      menanamkan dan menyemarakkan semangat cinta akan tanah air dengan memperkenalkan unsur-unsur kebudayaan kebangsaan.
3.  mendidik para pelajar mengamalkan keperibadian yang seimbang dalam memainkan peranannya sebagai anggota masyarakat.
4.      melahirkan individu-individu yang berminat dalam mengenali karya-karya yang bermutu.
5.      memupuk bakat pelajar bagi menghasilkan karya-karya atau membuat penilaian terhadap karya-karya sastera yang sesuai dengan kemampuan mereka.
6. menyuburkan perkembangkan intelek, emosi, moral dan estetika sesuai dengan kewarganegaraannya.
7.      membantu daya wawasan dan pengamatan individu terhadap warisan bangsa dan warisan dunia seluruhnya dari segi budaya, institusi, niali-nilai dan dinamik sosial masyarakat sekitarnya.
8.   menyuburkan daya apresiasi kreatif, imaginatif dan peka terhadap pelbagai sudut pandangan supaya pelajar menjadi lebih inisiatif, mahir, cekap dan rasional.
9.    menimbulkan pemikiran positif dan kreatif serta optimis dalam menggalakkan hasrat dan proses pendidikan seumur hidup.


Bibliografi
Kamarudin Haji Hussin, (1988). Kaedah Pengajaran Kesusasteraan. Selangor : Fajar Bakti Sdn.
Bhd.

Muhammad Haji Salleh, (2006). Puitika Sastera Melayu. Kuala Lumpur : Perpustakaan Negara

Malaysia.

No comments:

Post a Comment